DAJJAL : Antara 10 Tanda Akhir Zaman

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Pada kesempatan ini saya ingin berkongsi serba sedikit mengenai ilmu akhir zaman yang saya kaji dan pelajari setelah berbulan-bulan saya tidak berkongsi apa-apa penulisan di blog ini, futur agaknya, Allahu :’) Moga Allah berikan kita kefahaman tentang ilmu ini, inshaAllah.

                Sebelum itu, hendaklah kita sedar bahawa ilmu akhir zaman ini merupakan suatu ilmu yang sangat penting. Hadith-hadith akhir zaman hendaklah dibaca dan dikaji sebaik-baiknya oleh para asatizah kerana kita sudah berada pada penghujung zaman. Isu-isu dunia seperti pertumpahan darah di Palestin dan Syria perlu diambil berat kerana salah satu sebab Masjidil Aqsa di Palestin hendak diruntuhkan ialah berkait dengan akhir zaman.

                Pada ruang dan peluang ini, saya ingin mengkhususkan perkongsian saya tentang sosok bernama Dajjal iaitu antara 10 tanda-tanda besar kiamat. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa hanya dua tempat yang Dajjal tidak akan masuk iaitu Mekah dan Madinah. Hal ini bermakna Dajjal boleh masuk ke tanah Palestin bahkan di Malaysia. Harus anda semua sedar bahawa pusat pemerintahan Dajjal ialah di Baitul Maqdis (Masjidil Aqsa). Inilah sebab kenapa Yahudi Zionis berusaha habis-habisan untuk meruntuhkan Masjidil Aqsa dengan alasan untuk membina semula Haikal Sulaiman bagi menyambut kedatangan raja besar mereka, siapa lagi kalau bukan Dajjal.

                Yahudi Zionis ini claim bahawa orang Palestin telah meruntuhkan Haikal Sulaiman lalu membina Masjidil Aqsa (Maknanya mereka kata Haikal Sulaiman dahulu dibina). Baiklah, kalau mereka ingin berbicara tentang sejarah, kami pengkaji Islam juga boleh menjawab mengikut fakta sirah dan sejarah. Sebenarnya andai anda semua kaji, Masjidil Aqsa buat pertama kalinya dibina oleh Nabi Yaakub dan dibesarkan pada zaman Nabi Sulaiman (peristiwa Nabi Sulaiman menyuruh jin-jin baginda untuk perbesarkan Masjidil Aqsa sambil ditunggu dan diperhati oleh baginda). Maknanya Masjidil Aqsa dan Haikal Sulaiman ialah sama! Haikal Sulaiman yang diclaim oleh Yahudi Zionis milik Nabi Sulaiman ialah Masjidil Aqsa yang dibesarkan. Pada fakta ini kita boleh simpulkan bahawa nabi mana yang lahir dahulu, Nabi Yaakub atau Nabi Sulaiman? Nah, tuduhan Yahudi Zionis bahawa Haikal Sulaiman diruntuhkan oleh orang Palestin seraya dibina pula Masjidil Aqsa ialah salah sama sekali!

                Oh ya, apabila menyebut tentang Masjidil Aqsa, saya ingin berkongsi sedikit tentang kelebihan Masjidil Aqsa dan mengapa kita perlu mempertahankannya. Antara kepentingan Masjidil Aqsa / Baitul Maqdis / Al-Quds / Jerusalem dan Palestin ialah:
1. Qiblat pertama umat Islam
2. Salah satu tempat Rasulullah SAW berhenti pada peristiwa Isra’ Mikraj
3. Kota besar Islam yang ketiga
4. Palestin ialah negeri kenabian dan keberkatan (lebih 60 orang Nabi dilahirkan dan berdakwah di bumi Syam)
5. Palestin juga ialah negeri perjuangan (jihad) sehingga kiamat

                Okey, kita sambung. Dajjal sebenarnya mengambil kesempatan untuk menyamar sebagai Nabi Isa yang palsu (kerana dia tahu bahawa kehadiran Nabi Isa amat ditunggu-tunggu oleh semua). Sedangkan Nabi Isa yang sebenar akan turun dari sebuah menara berkubah putih di Damsyik, Syria. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kita tahu ilmu akhir zaman supaya dapat membezakan Nabi Isa palsu dan Nabi Isa sebenar. Dan ulama’ mengkaji bahawa ada sebab kenapa Nabi Isa turun dari menara putih ini (yang ini pada kesempatan lain saya akan ceritakan). Dajjal juga akan mengaku bahawa dia ialah raja seluruh dunia dan pada saat ini tanda-tanda dan kekafirannya belum jelas kelihatan pada pandangan orang biasa (namun mungkin pada ketika ini orang-orang alim dan pengkaji sudah mengesyaki bahawa dia sebenarnya Dajjal). Tanda-tanda dan kekafiran Dajjal hanya akan jelas kelihatan apabila Dajjal mengakui dirinya sebagai Tuhan. Israel pula akan menjadi kuasa besar selepas ini (Selepas Britain – dahulu dan Amerika Syarikat - sekarang).

Dipendekkan cerita, Dajjal membuat kekacauan di bumi dan pada suatu saat, umat Islam yang beriman serta Imam Mahdi berada dalam suatu kekalutan yang nyata. Lantas mereka semua berkumpul di Damsyik untuk solat Subuh berjemaah dengan diimami Imam Mahdi. Pada saat inilah Nabi Isa turun ke bumi lantas solat subuh berjemaah dengan menjadi makmum kepada Imam Mahdi sebelum bergera untuk membunuh Dajjal dan pengikutnya. Pengikut-pengikut Dajjal iaitu Yahudi yang terlalu ramai pada saat itu bertempiaran lari dan bersembunyi di celah-celah makhluk Allah seperti batu dan pokok. Namun makhluk-makhluk Allah ini bersuara memberitahu tentera Islam bahawa ada pengikut Dajjal bersembunyi di sebaliknya. Semua makhluk Allah mengatakan yang haq kecuali suatu pokok bernama pokok Gharqad. Pokok-pokok ini hanya mendiamkan diri apabila ada pengikut Dajjal bersembunyi di sebaliknya. Orang Yahudi Zionis telah mengkaji hadith-hadith Nabi tentang Dajjal dan pohon ini, oleh itu tidak hairanlah penanaman pokok Gharqad ini telah diadakan secara meluas di Negara haram Israel. Dan pada akhirnya, Dajjal juga akan dibunuh oleh Nabi Isa sendiri di Baabul Luut.

Saya kira setakat inilah sahaja perkongsian sahaja pada kesempatan ini. Sebenarnya, ayat-ayat Al-Quran jika dikaji secara mesej-mesej subliminal, kita akan mendapati bahawa Allah telah banyak berpesan kepada kita tentang Dajjal dan akhir zaman. Buktinya, walaupun tiada langsung perkataan Dajjal di dalam surah Al-Kahfi (surah yang Nabi Muhammad SAW tuntut umat Islam supaya membacanya setiap kali hari Jumaat), namun mesej-mesej tersirat mengenai Dajjal tetap ada. Menurut Sheikh Mutawalli Sya’rawi juga, tempat-tempat yang Rasulullah SAW singgah pada malam Isra’ dan Mikraj (contohnya Madinah, Bukit Tursina dan bumi Madyan) juga ada kaitan dengan mesej peristiwa akhir zaman. Tinggal kita sahaja untuk mengkaji atau tidak, nak jadi ignorant atau tidak. Cukuplah dengan dalil-dalil naqli tentang peristiwa akhir zaman menjadi bukti kukuh bahawa betapa crucialnya untuk kita mengetahui tentang perkara-perkara ini. Berhentilah daripada melempar tuduhan-tuduhan berbau fitnah kepada para pengkaji sebenar tentang ilmu akhir zaman seperti mereka ini paranoid, jumud dan sebagainya. Kalau jahil, pergi mengaji. Usahlah menjadi tin-tin kosong :)


Sekian sahaja perkongsian saya. Harap ilmu ini dipanjang-panjangkan lagi kepada orang lain. Kalau ada yang tersilap, mohon dibetulkan. Terima kasih kerana membaca.


AIN ATILA

Comments

Popular posts from this blog

Bahasa Melayu - Contoh Karangan Sastera

Akhi, Anta Hurrun!

Vehaen : Secebis Coretan