Cerpen : Dan Sebenarnya, Kita Semua Ialah Pewira





Dan Sebenarnya, Kita Semua Ialah Pewira


Usai solat Asar, Ahmad menegur Imran yang sedang merenung karpet masjid, barangkali sedang berfikir tentang sesuatu yang penting. Tanpa membuang masa, dia terus duduk di hadapan sahabatnya itu.

    Imran mengangkat kepala. “Weh, hati aku terasa berbukulah.”

    “Kenapa?”

    “Orang-orang di sekitar aku sering melemparkan kata-kata sinis disebabkan keputusan peperiksaan aku yang teruk. Ya, aku tahu aku tak pandai tetapi itu bukan bermakna aku tidak punya perasaan. Mereka mempertikaikan kenapa keputusan peperiksaan aku cemerlang dalam UPSR dan PMR tetapi teruk untuk Percubaan SPM ini. Haih.”

    “Imran, kau kenal siapa diri kau lebih daripada orang lain mengenali kau. Pasti dan pasti terdapat suatu sebab kenapa pembelajaran kau tidak membanggakan pada tahun ini. Sepanjang aku mengenali kau,  kau seorang pelajar yang sangat rajin dan bersungguh-sungguh untuk memahami sesuatu subjek tetapi  mungkin belum tiba waktunya lagi untuk kau mencapai keputusan yang cemerlang. Lagi satu, kau seorang pelajar yang baik, Imran. Kau jaga perintah agama.”

     Imran hanya diam.

    “Mereka itu hanya memandang kepada prestasi, bukan kepada akhlak insan. Aku terfikir juga, adakah prestasi kau dalam pelajaran menjamin kehidupan bahagia? Tidak. Akhlak dan pelajaran kena seiring. Dan kalau kau sudah tidak boleh teruskan lagi dengan subjek-subjek tertentu, aku yakin pasti ada sesuatu yang kau mahir. Sesuatu yang membolehkan kau mencapai cita-cita kau.” Ahmad memberikan pandangan.

    Imran mula tersenyum manis. “Ya Ahmad. Terima kasih sangat-sangat. Aku sudah tahu apa yang aku mahu lakukan. Aku ingin hafal Al-Quran.”


*****


“Adib, sudah solat ke belum?” Irfan bertanya selepas melabuhkan punggung di hadapan kawan sekelasnya, Adib.

    “Belum.” Tanpa mengalihkan pandangan kepada buku di hadapannya, Adib menjawab ringkas.

    “Pergilah solat dahulu, aku sudah solat sejurus selepas azan tadi. Dah lewat sangat ini.”

    “Biarlah dahulu, kan waktu Asar belum habis?”

    “Memanglah tetapi sekarang ini sudah menginjak pukul 6 lebih.” Irfan masih memujuk.

    “Diamlah kau, aku nak belajar.”

    “Adib, jagalah solat. Aku ini tidaklah pandai sangat tetapi Alhamdulillah apabila aku jaga solat iaitu solat pada awal waktu, keputusan peperiksaan aku okey. Aku tidak ada langkah untuk berjaya melainkan solat pada awal waktu.”

    “Diam-diam.” Adib mendengus.  “Lepas ini aku solatlah. Dah, jom studi.”


*****


Seorang cikgu sedang mengajar di kelas. Selepas tamat pembelajaran pada hari itu, Cikgu Aishah sempat bertanya kepada pelajar dua soalan.  “Sebutkan kepada cikgu apa cita-cita awak dan kenapa awak memilih cita-cita itu.”

    “Saya mahu jadi doktor untuk tolong orang sakit.”

    “Jurutera kerana sekarang bidang itu popular dalam kalangan anak muda.”

     “Arkitek! Abah saya yang suruh.”

     “Doktor gigi! Gaji doktor gigi kalau buka klinik sendiri mahal, cikgu.”

     Semua pelajar pakat bersorak.

     “Terima kasih.” Cikgu Aisyah memberikan senyuman manis. “Kadangkala cikgu dan warga pendidik yang lain terfikir bahawa adakah cita-cita pelajar terhenti sahaja begitu? Maksud cikgu, contohnya kalau nak jadi doktor gigi kerana gaji mahal, lepas itu apa? Adakah kebahagiaan itu ditafsirkan dengan memiliki harta yang banyak atau  mendapat kerja yang popular dan sebagainya? Bukankah definisi kebahagiaan lebih luas konteksnya? Sebagai contoh, doktor. Bagi para doktor, kebahagiaan ialah apabila para pesakit memeluk mereka dan berterima kasih kerana menjadi pengantara dalam usaha menyembuhkan pesakit seterusnya mendoakan kesejahteraan para doktor. Betul?”

     Para pelajar terdiam.

    “Sesuatu kerjaya itu sepatutnya mempunyai kaitan dengan dunia akhirat awak. Awak kerja itu ini kerana pekerjaan itu menjamin masa depan awak yang indah di               Padang Mahsyar sana. Perbetulkan balik niat awak untuk bekerja itu.”

    “Cikgu!” Secara tiba-tiba Jasmine mengangkat tangan.

    “Ya saya?”

    “Saya ingin menjadi seorang mujahidah iaitu seorang wanita yang memperjuangkan agama Allah dalam setiap amal yang saya lakukan. Doakan saya cikgu.”


*****


“Tila, macam mana awak bahagikan masa awak? Kita semua kan sibuk dengan studi tetapi awak sempat lagi membaca buku-buku agama.” Huwaina bertanya.

    “Kerana saya bukan penyembah SPM.” Atila senyum. “Atau dalam bahasa Inggerisnya, I’m not a SPM workshipper. Saya bukan hidup untuk SPM semata-mata. Banyak lagi perkara yang ingin saya capai di dunia ini.”

    “Tila, saya kagumlah.”

    “Usah kagum sangat kerana awak pun boleh buat. Tidak payah pandang tinggi terhadap saya, takut awak merana. Apa yang penting, letakkan agama Allah nombor satu. Saya setkan dalam kepala saya, kalaulah saya sibuk dengan SPM sampai meninggalkan dakwah, kemudian suatu hari nanti Allah tarik nyawa saya dan Allah tanya saya kenapa saya tidak buat sesuatu pun untuk menyelamatkan ummah yakni dengan berdakwah, berani ke saya nak jawab, ‘Ya Allah, aku tidak sempat berdakwah kerana aku sibuk dengan SPM. Kan aku perlu capai result yang cemerlang.’ Ingat Allah terima alasan itu?”

    “Sentap.” Huwaina tergelak. “Kan? Saya pun pelik kerana masih ada orang yang terlalu fokus dengan SPM sampai umat Islam pun dia tidak hiraukan. Umat Islam tenat sekarang, Tila.”

    “Saya tahu. Maaflah kalau saya cakap kasar tapi kita ada akal untuk berfikir dan mempunyai asas agama. Amatlah rugi seseorang itu jika perangai dia tidak berubah ke arah kebaikan walaupun dia tahu tentang agama. Nak pergi Syurga atau tidak, dia kena pilihlah.”


*****


“Cikgu, minggu depan SPM akan menjengah. Kemudian persekolahan tamat. Nanti tak boleh tengok perangai-perangai selamba cikgu lagi.” Ahmad berkata sayu di dalam kelas.

    “Cikgu berusaha mencipta nostalgia dengan perangai pelik cikgu tu bersama anak-anak semua supaya nanti anak-anak sambung belajar, anak-anak dah kerja, kahwin dan dapat anak sendiri, anak-anak akan ingat balik arwah cikgu Ya.” Cikgu Zakaria memang memanggil semua anak muridnya dengan panggilan ‘anak-anak.’

    “Cikgu…” Sekelas mula bersuara.

    “Cikgu, kenapa cikgu cakap begitu? Sedihlah,” ujar Ahmad mewakili rakan-rakannya.

     “Betullah apa yang cikgu cakap. Cikgu akan mati dan awak semua akan mati. Jaga diri baik-baik ya anak-anak semua? Jadilah insan yang berguna untuk ummah.”



Lapan tahun kemudian.


Selepas memberikan sebuah ceramah tentang perbandingan agama antara Islam dengan Kristian di sebuah dewan kecil berkapasiti 500 orang, Atila menuju ke arah seorang gadis.

    “Adeline, nah. Saya tahu awak perlukan ini.” Dia tersenyum manis.

    Adeline menyambut huluran Atila iaitu sebuah Al-Quran. “Cik Atila, saya sudah lama ingin membaca Al-Quran Cuma tidak pernah berkesempatan.” Dia merenung dan mengusap Al-Quran itu berkali-kali. “Dahulu saya pernah koma selama enam bulan dan saya bersyukur sangat kerana masih hidup dan diizinkan untuk bertemu Cik Atila hari ini.”

    “Alhamdulillah, semua ini adalah takdir, Adeline. Setiap perjalanan hidup kita semua ini berada dalam kekuasaan Allah. Dia yang menentukan segalanya. Kita yang menuju ke arah-Nya dan merupakan suatu pilihan sama ada kita menuju-Nya dengan merangkak, berjalan atau berlari.”

    “Islam itu cantik, Cik Atila. Sangat cantik.” Adeline kemudiannya terdiam lama.

    “Adeline, kenapa ini?”

    “Di manakah masjid di kawasan ini?” Dia bertanya dengan mata yang berair.

    “Kenapa?”

    “Saya mahu melafazkan kata-kata keramat itu.”

    Atila memegang bahu Adeline erat. “Adeline, awak boleh lafazkan kalimah syahadah itu di sini. Ulang selepas saya. Asyhadu…”

    “Asyhadu…”


*****

Kelihatan Cikgu Zakaria sedang menonton berita di rumahnya. Bagus sistem siaran berita di Haq TV, menyiarkan berita pada pukul 9.00 malam usai orang Islam solat Isyak. 

     “Anak muridku, Huwaina.”  Beliau tersenyum bangga seraya menumpukan berita yang disampaikan oleh seorang gadis yang sangat dikenalinya.

     “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Pada hari ini saya ingin melaporkan tentang perkembangan di Gaza. Alhamdulillah Bridged Al-Qassam masih berjaya mengepung kubu tentera Zionis laknatullah sejak petang kelmarin. Bilangan mangsa yang syahid juga berkurangan secara mendadak jika dihitung purata kematian sehari-hari pada tahun lepas dengan tahun ini. Dan Alhamdulillah, Sempadan Rafah masih dibuka semenjak Presiden Mesir, Jeneral Fatah As-Sisi digulingkan bulan lepas. Inna fatahna laka fatham mubiina. Ingatlah bahawa Allah akan memberikan kejayaan kepada orang Islam. Saya Huwaina melaporkan dari tanah Gaza untuk Haq TV. Terima kasih dan assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.”


*****


Seorang anak kepada seorang pesakit di hospital itu kelihatan sedang bercakap dengan seorang doktor.

    “Doktor Irfan, bagaimanakah dengan perkembangan ibu saya?”

    “Alhamdulillah, kaki ibu puan disebabkan Diabetes Mellitus itu sudah surut bengkaknya. Esok beliau sudah boleh pulang, inshaAllah. Ibu puan juga sudah mula menunaikan solat pagi tadi.” Irfan memberikan sebuah senyuman kesyukuran.

    “Betulkah doktor? Itulah, sudah banyak kali saya nasihati ibu saya, walaupun dia sakit, dia masih wajib menunaikan solat tetapi dia menafikan hal ini.”

    “Jangan risau puan, saya sudah nasihatkan beliau. Dia pun sudah mula faham akan kewajipan solat walaupun sedang sakit.”

    Anak pesakit itu mengangguk –angguk. “Terima kasih doktor. Di mana surau di hospital sini? Saya mahu pergi sujud syukur dan terus solat Zuhur. Solat fardhu di sini semuanya berjemaah kan?”

    “Puan turut ke tingkat paling bawah, hujung sekali bahagian kanan ada surau besar. Ya, memang setiap waktu solat fardhu pihak hospital wajibkan solat berjemaah, Doktor Hafiz yang imamkan. Oh ya, nanti usai solat Zuhur, puan duduklah sekejap di surau itu, ada tazkirah Zuhur.”

    “Oh? Hebat betul hospital ini, Alhamdulillah. Siapa yang bagi tazkirah?” Anak pesakit itu bertanya dengan teruja.

    “Saya.” Dan Irfan senyum lagi.


*****

                                                                    
Dua orang pemuda datang menegur Adib yang mengelamun di sebuah sudut kompleks beli-belah itu.

    “Eh Adib! Assalamualaikum.” Ahmad menegur Adib.

    “Waalaikumussalam warahmatullah Ahmad, Imran!” Adib tersenyum gembira “Engkau berdua apa khabar?”

    Ahmad dan Imran duduk di bangku bersebelahan Adib. “Alhamdulillah sihat. Engkau pula? Lama kita tidak jumpa, lebih kurang lapan tahun.”

    “Aku sihat. Eh, kau kerja apa sekarang?”

    “Alhamdulillah, aku kerja arkitek di Teme Holding.” Ahmad menjawab ceria.

    “Engkau berguraukah? Itu syarikat yang sangat popular sekarang! Mesti kau kenal Al-Azwar yang kerja di sana.”

    Ahmad tersengih. “Al-Azwar itu akulah. Nama samara aku.”

    “Wah, hebatnya engkau! Engkau tahu tak lukisan engkau di instagram tu sangat popular sekarang? Sudahlah ramai orang bukan Islam masuk Islam disebabkan dakwah engkau melalui lukisan.”

    “Amboi, banyak engkau tahu pasal aku.”

    “Aku peminat setia lukisan-lukisan itu. Eh Imran, engkau pula kerja apa sekarang?”

    “Aku? Aku sekarang seorang guru mengaji untuk budak-budak yang mahu menghafal Al-Quran. Alhamdulillah, impian aku lapan tahun lepas tercapai walaupun diperli dan dihina. Engkau pula?”

    “Imran, Ahmad, sehingga sekarang aku masih tidak mempunyai sebarang pekerjaan.”

    Kedua-duanya terkejut.

    “Aku penganggur. Tiada syarikat yang mahu ambil aku bekerja walaupun aku memiliki segulung ijazah. Aku menyesal Ahmad, Imran kerana mengabaikan solat dahulu. Aku letak ke tepi soal solat ketika belajar dan rezeki aku untuk bekerja menjauhi aku selepas aku menamatkan pengajian. Menyesal aku weh.” Suara Adib kedengaran sebak.

    “Peluang masih ada, Adib. Engkau bertaubatlah dan inshaAllah Allah akan maafkan. Jaga solat dari sekarang ya? Aku jamin, kalau engkau jaga solat, rezeki engkau di dunia ini sentiasa cukup.”

    Adib mengangguk-angguk perlahan.


*****


Seorang bekas pelajar Cikgu Aishah berada di sebuah rumah milik seorang wanita separuh umur yang sudah lama dikenalinya.

“Jasmine, sudah lama makcik kenal Jasmine. Kita selalu keluar bersama-sama, pergi masjid, pergi program itu ini dan lain-lain. Makcik bersyukur sangat kerana dapat mengenali anak muda seperti Jasmine, anak muda yang giat berdakwah walaupun sibuk belajar.”

    “Yalah makcik, kita sudah lama kenal. Jasmine kenal makcik sejak Jasmine tingkatan 5 lagi sehinggalah sekarang, sudah tamat belajar di universiti.”

    “Ya betul. Dan makcik ingin sangat hubungan kita erat lagi dan lagi.”

    “Maksud makcik?” Jasmine kehairanan.

    “Jasmine kenal anak makcik yang ketiga itu kan?”

    Jasmine mengangguk-angguk. “Amaar? Jasmine kenal sahaja walaupun Jasmine tidak pernah bercakap dengan dia. Hari itu dia tolong uruskan malam memperingati Gaza di universiti. Kenapa?”

    “Makcik lamar Jasmine untuk pihak Amaar. Jasmine terima?”

     “Makcik, nak nangis.” Jasmine sebak.

    “Kenapa pula?”

    “Jasmine terima, makcik.” Dan dia terus memeluk makcik itu.

    Jasmine yang sentiasa menutup aurat dan menjaga diri akhirnya dilamar untuk pihak Amaar. Dan ya, dia amat menantikan detik-detik makcik itu menjadi ibunya sendiri. Suatu formulasi penting, engkau jaga diri engkau, engkau akan dapat seorang yang soleh dan dengan cara yang amat terhormat.


*****

Harapan itu masih ada. Islam akan bersinar pada akhirnya. Kita semua ialah pewira. Pewira Islam yang ingin ummah ini mendapat kemulian. Berubahlah dari awal kerana perubahan itu akan membawa kepada masa depan yang indah. Titik tolaknya berada di tangan kita sekarang, kita yang menentukan masa depan ummah. Bangkitlah wahai semua pewira, kita genggam dunia dan akhirat!


Comments

Popular posts from this blog

Bahasa Melayu - Contoh Karangan Sastera

Akhi, Anta Hurrun!

Vehaen : Secebis Coretan