#2 Contoh Karangan Sastera (nombor 5)
Assalamualaikum.
Contoh
karangan sastera nombor 5 yang kedua.
SOALAN
:
Baru-baru
ini, anda telah dihadiahkan sebuah novel oleh ibu anda. Tuliskan satu ulasan
tentang novel tersebut.
______________________________________________________________________________
Tajuk
novel : Konspirasi Suami
Penulis
novel : Maya Iris
Harga
: RM25.00
Penerbit
: GedeBook
Ketebalan
: 686 mukasurat
Pengulas
: Nor Ain Atila binti Ibrahim
Terkoyak
bibir saya dengan sebuah senyuman apabila ibu saya yang tercinta menghadiahkan
sebuah novel kepada saya sempena hari lahir saya pada bulan Jun yang lepas.
Sebuah novel yang bertajuk Konspirasi Suami tulisan Maya Iris yang mana apabila
melihat sahaja kepada kulit luar novel ini, saya sudah dapat mengagak bahawa
novel ini bukanlah novel yang biasa-biasa. Kulit luar novel ini yang
menunjukkan seorang lelaki dengan stetoskop tergantung di lehernya sambil
memegang sepucuk pistol menjadi suatu asbab kukuh untuk saya meneruskan
pembacaan novel ini berterusan selama tiga hari sahaja. Bagaikan seseorang yang
disinari cahaya mentari selepas menamatkan pembacaan, semangat saya untuk
mengulas novel ini berkobar-kobar kerana saya berasa bahawa menjadi suatu
kewajipan ke atas saya untuk mempromosikan lagi novel ini memandangkan
pengisian novel ini amatlah berlainan dengan novel-novel yang sedia ada di
pasaran.
Penulis iaitu Maya Iris mengangkat tema
ketidaksedaran umat Islam akan tangan-tangan ghaib yang cuba menjerumuskan
mereka ke lembah kesesatan. Hal ini dibuktikan
dengan watak utama yang merupakan seorang muallaf bernama Dr. Ehsan yang
hampir-hampir terjerumus dengan sebuah konspirasi membabitkan dunia.
Kepakarannya dalam mencipta teknologi zikir telah menyebabkan musuh-musuh Islam
cuba untuk mempergunakan beliau. Tema yang menarik ini dilengkapkan lagi
dengan persoalan-persoalan di dalam novel yang memberikan impak yang
berbeza-beza seperti persoalan hubungkait antara puak Zionis dengan permainan
dunia. Persoalan ini ditonjolkan dengan pengakuan Sang Perancang, iaitu
pemegang watak antagonis di dalam novel ini, yang menyatakan bahawa puak-puak
Zionis lebih mengkaji Al-Quran dan mengakui kebenaran Al-Quran lantas
menjadikan setiap larangan Allah melalui Al-Quran sebagai perkara-perkara yang
dilakukan oleh umat Islam sekarang ini. Contohnya ialah apabila Allah
mengharamkan riba, musuh dalam selimut ini menjadikan riba sebagai solusi utama
dalam masalah kewangan dan penetapan wang kertas yang turut tercalit dengan
aktiviti riba yang tidak sedari manusia. Melihat kepada persoalan-persoalan
yang ditimbulkan ini, saya sedar bahawa ada sesuatu yang amat penting terselit
di hati penulis untuk disampaikan kepada para pembaca.
Seterusnya, watak dan perwatakan yang
terbias melalui penceritaan novel ini amatlah sesuai dan menarik. Watak utama
dalam novel ini ialah Dr. Ehsan yang dahulunya bernama Dr. Andrew sebelum
memeluk Islam yang berkahwin dengan seorang pelajar jurusan perubatan bernama
Nur Sayang. Dr. Ehsan merupakan seorang yang sangat penyabar dalam menghadapi
kerenah isteri beliau yang kadangkala bersikap kebudak-budakan selain daripada
kesibukan beliau di hospital. Watak antagonis pula ialah Jeneral Zuckermann
yang berfahaman Zionisme dan amat benci akan agama Islam tetapi keegooannya
terhadap umat Islam tercalar apabila anaknya, Arielle jatuh cinta akan Dr.
Ehsan yang telah menyembuhkan penyakit yang
mencacatkan wajah cucu perempuannya. Aktiviti Jeneral Zuckermann yang
ingin memusnahkan tamadun Islam dibantu oleh watak antagonis yang kedua iaitu
Michael Goldberg yang turut bertuhankan fahaman Zionisme dan merancang untuk
menipu umat Islam dengan mengada-adakan peraturan
baru dunia. Penulis juga bijak menyelitkan rasa ingin tahu dalam minda
pembaca tentang kewujudan lelaki yang hanya dikenali sebagai Sang Perancang. Ketika membaca karya ini, saya juga tertanya-tertanya
tentang hubungan antara Sang Perancang dengan Dr. John Stein iaitu penaja Dr.
Ehsan yang merupakan seorang Yahudi namun hanya di penghujung cerita,
didedahkan perkaitan antara mereka berdua yang tidak disangka-sangka.
Di samping itu, saya juga tertarik dengan
plot novel Konspirasi Suami ini di mana penulis membawakan tiga plot yang
berlainan namun secara tersiratnya bergerak serentak dalam penceritaan. Plot
pertama ialah kisah rumah tangga antara Nur Sayang dengan Dr. Ehsan yang kudung
sebelah kakinya kerana ditembak oleh Jeneral Zuckermann ketika berada di padang
pasir di Israel, kisah Sang Perancang dan konco-konconya yang merancang
konspirasi demi konspirasi seperti mewujudkan Imam Mahdi yang palsu dan kisah
Kamil iaitu bekas kekasih Nur Sayang yang dipaksa kahwin dengan adik angkatnya
sendiri iaitu Amanda. Penceritaan novel ini dimulakan dengan Dr. Ehsan yang
bermimpi detik-detik dirinya tertangkap oleh askar-askar di bawah pimpinan
Jeneral Zuckermann kerana beliau telah meloloskan diri daripada tahanan lelaki
itu. Dek kerana perbuatan beliau, beliau telah ditembak tanpa belas kasihan sebanyak
tiga kali iaitu di kaki kiri, betis kiri dan lutut kiri lalu ditinggalkan berseorangan
di padang pasir agar dibaham serigala liar. Apabila tersedar daripada mimpi
benar ini, Dr. Ehsan segera menghubungi Nur Sayang iaitu bakal isterinya dan
menceritakan mimpi buruknya. Dengan mengikut teknik plot yang betul iaitu
permulaan, perkembangan, konfliks, klimaks dan peleraian, saya juga telah
tertarik dengan klimaks novel ini yang menimbulkan unsur suspens apabila
pasangan suami isteri ini telah diculik oleh Jeneral Zuckermann di bawah arahan
Sang Perancang dan Dr. Ehsan ketika ini telah dipaksa untuk menyertai mereka
melakukan suatu transformasi kepada Raja Besar Israel di mana pada masa yang
sama, perbuatan itu akan menggugat akidah Dr. Ehsan. Pastinya, penulis bijak
menutup kisah ini dengan pembalasan atas perbuatan mereka dengan penceritaan
yang mengujakan dan mengejutkan saya.
Teknik plot yang digunakan dalam novel ini
juga harus diberikan pujian. Penulis banyak mengunakan unsur dialog dalam
mengetengahkan idea dan pendapat. Antara faktor mengapa saya menganggap novel
ini ialah sebuah novel yang luar biasa ialah penulis berjaya mengemukakan
fakta-fakta tentang konspirasi dunia dan perang melalui dialog yang tidak
membosankan pembaca. Kenyataan ini dibuktikan melalui dialog antara Dr. Ehsan
dengan Pak Cik Hameed yang merupakan salah seorang daripada pesakit beliau
tentang sejarah sebenar dunia dan segala macam konspirasi dunia yang puak
Zionis lakukan. Peribahasa bagai mencurah air ke daun keladi tidak ditonjolkan
langsung melalui penceritaan Pak Cik Hameed kepada Dr. Ehsan kerana beliau amat
berminat dengan cabang ilmu yang dihuraikan Pak Cik Hameed tersebut. Selain
itu, penulis juga menyelitkan teknik imbas kembali dalam watak-watak tertentu
contohnya watak Nur Sayang yang teringat akan perbuatannya mencari Dr. Ehsan di
wad disebabkan sudah dua bulan dia diabaikan Dr. Ehsan. Ketika ini hubungan
rumah tangga mereka mula berantakan kerana Nur Sayang merasakan bahawa suaminya
tidak pernah mengambil berat akan dirinya. Konklusi kecilnya ialah penulis
membawa teknik plot yang bermacam-macam supaya para pembaca termasuk saya berkobar-kobar
untuk meneruskan pembacaan.
Dalam setiap novel, sudah pasti ada
unsur-unsur pengajaran dan nilai yang diselitkan untuk menjadi panduan hidup
pembaca. Namun begitu, jumlah pengajaran dan nilai yang dikemukakan dalam
penceritaan adalah berbeza-beza, bergantung kepada kualiti novel tersebut. Pada
pandangan saya, novel Konspirasi Suami ialah sebuah novel yang mengetengahkan
unsur nilai dan pengajaran yang amat jelas buat sesiapa yang membaca novel ini
dengan mata hati. Sebagai contoh, sebagai seorang umat Islam, kita mestilah
berhati-hati dalam berurusan dengan orang yang baru dikenali. Pengajaran ini diselitkan
dengan nasihat Nur Sayang yang menasihati suaminya supaya berhati-hati apabila
berkawan dengan Dr. John Stein kerana dia merupakan seorang Yahudi. Bukanlah di
sini penulis ingin mencadangkan kepada kita untuk bersangka buruk terhadap
orang lain tetapi kita harus akui bahawa bangsa Yahudi mempunyai sejarah yang
buruk dengan umat Islam. Selain itu, unsur nilai yang terdapat dalam novel yang
layak menerima penganugerahan lima bintang ini ialah kegigihan. Peribahasa
usaha tangga kejayaan diaplikasikan oleh seorang lelaki tua bernama Pak Cik
Hameed yang gigih mengkaji tentang konspirasi dunia termasuklah krisis negara
yang menimpa ke atas negara Timur Tengah seperti Iraq dan Libya sehingga beliau
berjaya mengaitkan segala isu besar yang melanda dunia dengan konspirasi Zionis
di mana pengikut-pengikutnya sudah zaman-berzaman membenci Islam. Nilai dan
pengajaran sebeginilah yang akan meningkatkan kualiti diri saya sebagai seorang
pelajar untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
Akhir sekali, keindahan gaya bahasa menjadi
salah satu tonggak kekuatan untuk saya terus membaca novel ini dan menghayati
bait-bait perkataannya. Penulis berjaya mengambarkan keadaan watak melalui
kata-kata yang ringkas namun memberi kesan. Walaupun
fakta dunia secara realitinya adalah berselirat dan kompleks, penulis
telah menyerlahkan kebijaksaanaan beliau dengan menghuraikan fakta-fakta dengan
gaya bahasa yang mudah untuk saya fahami. Tidak dilupakan juga, penulis bijak
menghuraikan peribadi dan peristiwa lampau watak apabila unsur ini tidak
diselitkan dalam teknik plot yang lain seperti dialog, monolog dalaman dan
imbas muka. Gaya bahasa yang menarik ditunjukkan ketika Nur Sayang membebel
kepada insan yang tidak dikenalinya kerana di dalam novel ini, Nur Sayang telah
mengalami hilang ingatan kerana terdapat darah beku di kepalanya. Dr. Ehsan
yang merupakan ‘insan yang tidak dikenali itu’ terasa hati dengan kata-kata
isterinya yang menggesa beliau supaya membawanya berjumpa dengan Kamil, bekas
kekasihnya kerana hanya nama Kamil yang berada dalam ingatannya ketika itu. Hati suami mana yang tidak terasa apabila hanya nama
Kamil yang berada dalam ingatan isterinya ketika itu. Keadaan jiwa Dr.
Ehsan yang terguris dihuraikan oleh penulis dengan bagus apabila beliau dengan
sedaya upaya menahan sabar supaya tidak naik tangan ke atas isterinya kerana
kesan hilang ingatan yang dialami, Nur Sayang menjadi seorang yang sangat
kurang ajar dengan beliau. Pada pandangan saya, setiap huraian tentang keadaan
watak sebeginilah yang menyebabkan saya lebih mengenali watak dan menghayati
mesej-mesej tersirat yang cuba disampaikan penulis.
Pada
hemat saya, penulis merupakan seorang yang rajin mengkaji setiap ilmu yang
disampaikan sehinggakan pada akhir mukasurat novel ini, terdapat senarai
rujukan ilmu yang diselitkan di dalam novel seperti kitab Tanda-Tanda Kiamat
tulisan Ibnu Kathir. Tambahan pula, penulis telah mendedahkan protokol-protokol
Zionis yang mengancam dunia sebanyak lapan mukasurat. Penulis dan novel beginilah
yang harus dipromosikan kepada rakyat Malaysia supaya mereka bukan hanya
menjadikan pembacaan novel sebagai hiburan namun turut mencedok segala ilmu
yang diketengahkan di dalam novel. Marcapada ini, saya melihat lambakan novel
yang membawa idea-idea klise di mana melalui tajuk dan sinopsis sahaja, saya
sudah dapat mengagak jalan cerita dan pengakhirannya. Sepatutnya para penulis
lebih rajin mengkaji ilmu untuk didedahkan melalui penulisan novel dan tidak
hanya menfokuskan terhadap tema klise seperti tema kahwin paksa semata-mata.
Bagi pihak pembaca, mereka patut bijak memilih novel-novel yang berkualiti
sahaja untuk dibaca supaya masa yang tersisa itu tidak dibuang dengan sia-sia.
Melalui kombinasi penulis dan pembaca ini, negara Malaysia sudah pastinya dapat
melahirkan rakyat yang bijak dan tidak mempunyai tahap pemikiran yang rendah
supaya kita tidak mudah ditipu dengan segala konspirasi jahat dunia yang
bergelumang di sekitar kita semua pada masa kini seterusnya meningkatkan lagi
tamadun negara bagi mencapai Wawasan 2020.
Comments
Post a Comment